SKUAD Harimau Malaya berpotensi untuk berada dalam kelompok 120 negara terbaik dunia selepas melakar dua kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan antarabangsa dengan menewaskan Singapura dan Palestin pada bulan ini.
Pasukan kebangsaan kendalian Peter Cklamovski telah menewaskan Singapura 2-1 minggu lalu dan mengumpul 3.68 mata sebelum melakar kemenangan ke atas jaguh Asia Barat, Palestin 1-0 sekali gus menambah lagi koleksi mata sebanyak 5.89 mata.
Dua keputusan positif itu menyaksikan skuad negara meraih mata keseluruhan 1,148.23 mata di kedudukan ke-120 berdasarkan laman nyata ranking dunia, Football-ranking.com setakat semalam.
Kedudukan tersebut sudah dijangka sejak ‘revolusi’ Harimau Malaya bermula awal tahun ini selepas tidak tewas dalam semua lima aksi kompetitif yang diharungi termasuk dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027.
Di peringkat Asia Tenggara pula, Thailand kekal dengan status pasukan No. 1 di kedudukan ke-102 dunia selepas mengutip 1,222.20 mata walaupun tewas 0-1 kepada Iraq dalam aksi final Piala Raja Thailand, Ahad lepas.
Sementara itu, prestasi Vietnam terus merudum berada di kedudukan ke-115 dunia, manakala pasukan jiran, Indonesia pula melonjak di posisi ke-117 dunia.
Perkembangan ini menjadi khabar positif buat bola sepak negara yang dijangka tidak mempunyai masalah untuk kekal dominan apabila dijadul bertemu Laos dua kali pada aksi kelayakan Piala Asia 2027, Oktober depan.
Negara Asia Tenggara lain menyaksikan Filipina berada di tempat 143, Singapura (158), Myanmar (160), Kemboja (180), Brunei (183), Laos (185) dan Timor Leste (195).
Kemaskini rasmi di laman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hanya akan dikeluarkan pada 18 September depan.