JOHOR BAHRU – Ketua jurulatih Palestin, Ihab Abu Jazar akur setelah tewas 0-1 kepada skuad negara pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Ihab percaya kehadiran beberapa pemain warisan dan naturalisasi telah memperkuatkan skuad kendalian Peter Cklamovski pada masa depan dan sedar mengenainya sebelum perlawanan berlangsung bahawa anak-anak buahnya akan berdepan tugas sukar.
“Pertamanya, tahniah diucapkan kepada Malaysia atas kemenangan ini, kami tahu ini akan menjadi perlawanan sukar buat kami setelah lawan diperkuat pemain berdarah warisan.
“Ramai pemain antarabangsa ini memilih untuk bermain untuk Malaysia. Jika Malaysia mempunyai barisan pemain ini sejak dahulu, pastinya kedudukan ranking mereka lebih baik. Apa pun, tahniah buat Malaysia, saya percaya pasukan ini mampu menjadi lebih baik di masa akan datang,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, pemain warisan, Joao Figueiredo menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika membantu pasukan menewaskan Palestin 1-0.
Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, ketiadaan beberapa pemain utama pada perlawanan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada persiapan pasukan, namun itu bukanlah alasan utama kerana skuad itu juga yang beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Saya perlu berikan pujian kepada pemain saya kerana dalam tempoh 20 minit terakhir, kami mampu memberikan tekanan hebat kepada mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE