fbpx
CHEONG MIN tidak dapat menahan sebak apabila terkenang pahit getir diharungi sebelum kembali bergelar juara dunia.

Cheong Min sebak terkenang detik sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Air mata ratu wushu negara, Tan Cheong Min gugur apabila terkenangkan laluan berliku dihadapi sebelum kembali bergelar juara dunia pada Kejohanan Wushu Dunia di Brasilia, Brazil minggu lalu.

Pada Kejohanan Dunia ke-17 itu, Cheong Min mempamerkan aksi cukup cemerlang apabila membawa pulang dua kilauan pingat emas dan satu perak.

Mengenangkan pahit getir yang diharungi selepas bergelar juara dunia menerusi acara Nandao wanita pada edisi 2019 di Shanghai, China, dia menyuarakan rasa puas untuk kembali merampas status tersebut.

Dalam pada itu, Cheong Min turut mengakui, mengharungi Covid-19 selain terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa pada kejohanan di Amerika Syarikat (AS) 2023 membuatnya kecewa.

“Itu (gangsa) antara keputusan paling mengecewakan. Kami menyertai kejohanan berturut-turut seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Tempur Dunia sebelum berlepas ke Amerika Syarikat.

“Badan saya tidak mendapat rehat secukupnya dan saya juga berasa kurang sihat sepanjang berada di sana. Ia sangat sukar,” katanya ketika ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Pada masa sama, atlet berusia 27 tahun itu menyifatkan kejayaan tersebut adalah hasil daripada latihan intensif selama tiga bulan di China, iaitu yang terpanjang dalam kariernya.

“Dengan sokongan seperti ini, saya boleh memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan. Pengalaman di China membantu saya untuk memperkemaskan teknik selain memberikan keyakinan serta mengurangkan jurang dengan atlet China.

“Saya tidak akan bersara dalam masa terdekat kerana merasakan masih boleh pergi jauh. Sukan SEA Thailand adalah sasaran yang seterusnya,” ujar Cheong Min. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN