PASIR MAS – Dua bekas tentera mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menceroboh sebelum mencuri wang sebanyak RM25 dari bilik koperasi dan bilik guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Melintang, Jeli dekat sini kira-kira dua minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh, Mohd. Izaman Sazli Che Noordin, 40 dan Mohd. Zulkifli Mat Ghani, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang kini bekerja sebagai pengait buah kelapa sawit didakwa bersama-sama menceroboh bilik koperasi dan mencuri wang tunai sebanyak RM15 di SMK Batu Melintang, Jeli kira-kira pukul 1 pagi pada 31 Ogos lalu.
Selain itu, mereka turut didakwa bersama-sama menceroboh bilik guru Program Pendidikan Khas Integrasi sekolah tersebut dan mencuri wang tunai sebanyak RM10 pada waktu dan tarikh yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Irfan Aizat Mohd. Daud manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret membenarkan Mohd. Izaman Sazli dan Mohd. Zulkifli diikat jamin masing-masing sebanyak RM8,000 untuk kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 21 September ini untuk sebutan semula kes dan fakta hukuman.
Kedua-dua tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE