HULU SELANGOR – Polis menahan dua individu tempatan selepas dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Tengi, Gedangsa, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 7.17 petang yang memaklumkan anaknya mengalami kecederaan akibat didera keluarga bekas ibu mertuanya.
“Hasil siasatan membawa kepada penahanan dua suspek berusia 35 dan 71 tahun yang merupakan bekas adik ipar dan bekas ibu mentua pengadu. Kedua-dua mereka ditahan di sebuah rumah di kawasan Sungai Tengi, Gedangsa.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing turut didapati negatif. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada tuduhan bahawa mangsa mencuri wang milik neneknya.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki akibat dicubit, dipukul di kepala serta ditarik rambut dengan kuat. Namun, keadaannya kini stabil dan tiada kecederaan serius dilaporkan,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – KOSMO! ONLINE