GUAYAQUIL, Ecuador – Kekalahan 0-1 kepada Ecuador tidak menjejaskan kedudukan Argentina yang dari awal lagi sudah ditabalkan sebagai juara kelayakan Piala Dunia 2026 zon Amerika Selatan.
Bagaimanapun, tugas sukar bakal menanti pengendali Argentina, Lionel Scaloni apabila mereka kehilangan khidmat tonggak pertahanan yang juga penolong ketua pasukan, Nicolas Otamendi untuk aksi pembukaan Piala Dunia tahun depan.
Ia susulan layangan kad merah diterima Otamendi kerana kekasaran yang sengaja dilakukannya bagi menghalang pemain lawan menjaringkan gol ketika tewas 0-1 kepada Ecuador di Estadio Monumental pagi tadi.
Bagaimanapun, ia dilihat bukanlah satu masalah besar memandangkan Argentina memiliki ramai lagi pemain berkebolehan besar untuk mengisi kekosongan Otamendi seperti Cristian Romero, Leonardo Balerdi dan Nahuel Molina.
Dalam aksi itu, Ecuador memastikan kemenangan hasil jaringan tunggal Enner Valencia menerusi sepakan penalti di penghujung babak pertama, namun turut menerima nasib malang apabila Moises Caicedo turut dilayangkan kad merah pada minit ke-50.
Pemain tengah Chelsea itu diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari Nicolas Gonzalez.
Kemenangan ke atas Argentina itu membolehkan Ecuador menutup kempen kelayakan zon Amerika Selatan di tempat kedua, satu mata mengatasi empat pasukan yang terikat 28 mata di tangga ketiga hingga keenam iaitu Colombia, Uruguay, Brazil dan Paraguay.
Selepas ini, Argentina yang tidak menurunkan barisan terkuat dengan merehatkan Lionel Messi, bakal berdepan juara Eropah, Sepanyol untuk pertarungan Finalissima dijadualkan Mac 2026. – AGENSI