fbpx
SUSPEK diiringi pegawai SPRM dan peguam selepas selesai proses permohonan reman di Kompleks Mahkamah Kangar, hari ini.

Anggota bomba disyaki salah guna kuasa direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Seorang anggota bomba direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan bayaran sewa sawah yang didakwa dilakukannya dari 2023 hingga tahun lalu.

Perintah reman ke atas lelaki berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd. Nor di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu, suspek hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri pada pukul 2 petang semalam sebelum ditahan kira-kira dua jam kemudian bagi siasatan lanjut.

Menurut sumber, siasatan awal mengesyaki suspek menggunakan kuasa serta jawatannya untuk mendapatkan wang sewa daripada seorang pesawah bagi mengusahakan sebahagian tanah milik jabatan itu seluas kira-kira dua hektar di Simpang Empat, dekat sini.

“Suspek meminta sebanyak RM3,000 bagi setiap musim padi dengan jumlah keseluruhan yang diterima mencecah RM12,000 dalam tempoh dari 2023 hingga 2024,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd. Nor Adha Ab. Gani mengesahkan perkara tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pada Februari lalu, suspek sama direman bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kehadiran kerja anggota bantuan di balai bernilai kira-kira RM30,000 pada tahun lalu di Kompleks Mahkamah Kangar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN