SEGAMAT – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas lima individu termasuk seorang penjawat awam selepas disyaki terlibat dalam skandal sebuah badan berkanun membekalkan lembu betina bernilai RM400,000.
Majistret Rahimah Abd Majid membenarkan semua suspek masing-masing berusia 30 hingga 60-an direman selama enam hari sehingga 15 September depan.
Terdahulu, kelima-lima suspek ditahan berasingan semalam ketika hadir memberi keterangan di SPRM Segamat antara pukul 11 pagi sehingga 2 petang.
Menurut sumber SPRM, berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek disyaki bersubahat dengan memperakukan dan mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu.
Suspek yang ditahan juga terdiri daripada seorang pemilik dan pengurus syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Febuari 2023.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan reman tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE