fbpx
PEARLY (kiri) dan Thinaah bermula langkah kanan dalam misi mempertahankan gelaran Terbuka Hong Kong. - AFP

Terbuka Hong Kong: Pearly-Thinaah mudah ke pusingan kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Hong Kong Coliseum sebentar tadi, pilihan kedua kejohanan itu mudah menewaskan wakil tuan rumah, Chu Wing Chi-Yu Yi Kiu 21-9, 21-9.

Turun dengan status sebagai naib juara dunia 2025, Pearly-Thinaah menepati ramalan apabila hanya memerlukan masa 25 minit untuk membenam pasukan lawan.

Biarpun mencatat kemenangan mudah, namun gandingan No.2 dunia itu masih belum mengeluarkan aksi 100 peratus apabila dilihat bermain lebih berhati-hati.

Apa yang pasti, Pearly-Thinaah sudah tentu mahu mempertahankan kejuaraan itu yang dimenangi mereka pada saingan musim lalu.

Cabaran sebenar pasangan negara adalah di pusingan kedua Khamis nanti apabila akan berdepan sama beregu China, Chen Qing Chen-Keng Shu Liang ataupun Febriana Dwipuji Kusuma-Meilyssa Trias Puspitasari dari Indonesia.

Turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua adalah beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan rakan senegara, Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-19, 21-12. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN