SEBUAH bola gergasi bercahaya di Sphere Las Vegas, Amerika Syarikat mampu memancarkan apa sahaja visual menerusi skrin diod paparan cahaya (LED).
Dianggarkan sekitar 1.2 juta unit LED puck diletakkan dengan anggaran ukuran diameter 22 sentimeter (sm) dan mengandungi 48 diod LED. Ini membolehkan setiap satu skrin memancarkan warna penuh secara ‘full’ RGB (boleh menghasilkan jutaan warna lain).
Kelebihan teknologi itu membuatkan permukaan skrin tersebut boleh memaparkan imej dengan warna sangat realistik sama seperti skrin televisyen atau telefon pintar.
Mula dibuka pada 2023, Sphere menggabungkan teknologi sistem audio paling canggih, skrin LED gergasi dan kecerdasan buatan (AI) yang menjadikannya bukan sekadar tempat menonton persembahan, malah penonton dapat merasai pengalaman imersif luar biasa.
Ia juga menjadi mercu hiburan masa kini yang menggunakan teknologi AI sehingga mampu membuat penonton seolah-olah masuk ke ruang dimensi berbeza.
Menggunakan sistem audio dari Jerman iaitu Holoplot yang membangunkan teknologi pembesar suara canggih berasaskan 3D Audio-Beamforming dan Wave Field Synthesis (WFS).
Dengan teknologi itu, bunyi boleh diarah dengan sangat tepat, di mana hanya satu kawasan tertentu mendengar audio, manakala ruang lain kekal sunyi.
Menurut Jurutera Audio Holoplot, Viktor Wessely, teknologi itu menjadikan bunyi kedengaran lebih jelas, realistik dan gema dihasilkan tidak bertindih dan terlalu bising.
“Dengan teknologi beamforming, kita boleh menghantar bunyi ke arah penonton tertentu dengan tepat. Setiap orang boleh dengar dengan jelas, tanpa perlu tingkatkan kelantangan sehingga mengganggu orang lain.
“Beamforming membolehkan jurutera ‘mengarahkan’ bunyi seperti pancaran cahaya laser ke arah tempat duduk tertentu.
“Ini bermaksud, setiap penonton boleh mendengar dengan jelas pada volum optimum, seolah-olah ada pembesar suara peribadi di hadapan mereka.
“WFS pula ialah teknologi audio yang cuba mencipta semula bunyi sehingga kedengaran seperti datang dari sumber asal dan bukannya dari pembesar suara,” katanya dalam portal, AI Tech.com.
Sistem WFS merupakan bunyi yang boleh diprogramkan supaya kedengaran datang dari mana-mana titik dalam ruang, walaupun tiada pembesar suara di lokasi tersebut.

“Sebagai contoh, jika ada tayangan tentang kapal angkasa, bunyi enjinnya boleh bergerak dari kiri ke kanan, naik ke atas atau datang dari belakang penonton.
“Penonton akan rasa seperti kapal itu benar-benar melintas dalam dewan, walaupun hakikatnya, bunyi itu keluar dari pembesar suara yang dipasang di dinding.
“Begitu juga dengan persembahan konsert, di mana penonton dapat merasai pengalaman seperti artis itu sedang menyanyi di depan mereka,” ujarnya.
Selain itu, jutaan skrin LED membolehkan Sphere mencatat sejarah sebagai skrin LED terbesar di dunia. Skrin itu juga boleh dilihat dari jarak jauh terutama pada waktu malam.
Skrin itu membolehkan Sphere berubah-ubah rupa sehingga kelihatan seperti bulan gergasi, bola mata, bola disko atau papan iklan digital.
Bahagian dalamnya pula menampilkan skrin LED setinggi 76 meter dengan resolusi 16K yang mampu mewujudkan ilusi seakan-akan penonton berada di dunia lain sama ada di tengah-tengah hutan tropika, angkasa lepas atau dasar laut.
Bagi melengkapkan kehebatan audio dan visualnya, Sphere turut memanfaatkan AI dalam beberapa aspek operasi.
AI membantu dalam pengurusan tenaga dan pencahayaan kerana jumlah LED yang terlalu besar akan memberi kesan kepada penggunaan elektrik.
Sistem pintar berasaskan AI digunakan untuk mengoptimumkan pola pencahayaan mengikut acara, masa dan keperluan persembahan.
Sphere turut memperkenalkan watak berasaskan AI, Aura yang berfungsi sebagai duta maya.
Watak itu boleh berinteraksi dengan pengunjung, menjawab soalan dan memberikan maklumat secara masa nyata.
Kehadiran watak AI itu menambahkan elemen futuristik seiring dengan konsep bangunan.
Ia juga memainkan peranan penting dalam menganalisis data penonton berdasarkan corak pergerakan, reaksi wajah sehinggalah kepada tahap keterlibatan mereka.
Analisis itu digunakan untuk menambah baik pengalaman persembahan pada masa hadapan, sekali gus menjadikan Sphere sebagai sebuah pusat hiburan yang sentiasa berkembang.
Sphere bukan sahaja menjadi lokasi untuk menonton filem atau layar LED, malah ia lokasi persembahan nyanyian beberapa bintang terkenal seperti kumpulan U2, Phish dan Dead & Company.
Bukan itu sahaja, terdapat tayangan imersif arahan Darren Aronofsky iaitu karya dokumentasi khas pertama yang dipersembahan pada Oktober 2023.
Tayangan filem klasik, The Wizard of Oz pula berjaya mencatat pengalaman menakjubkan dan memberi rasa teruja kepada para penonton.
Berlangsung pada Ogos lalu, gabungan skrin LED terbesar dunia dengan sistem audio menjadikan karya tersebut lebih dramatik.
Menurut New York Post.com, penonton dibawa masuk ke dunia fantasi Oz dengan visual LED 16K yang menjadikan pemandangan ikonik seperti Jalan Bata Kuning (Yellow Brick Road), Emerald City dan Wicked Witch’s castle dalam skala luar biasa.
Sistem bunyi canggih telah mencipta kesan audio dinamik, di mana penonton dapat merasai bunyi ribut, bisikan hutan dan nyanyian watak utama seolah-olah berlaku di sekitar mereka.
Menurut salah seorang penonton, Mark Andrew, dia mengakui berasa puas hati dengan bayaran dikenakan kerana dirinya seperti memasuki ke dunia Oz.
“Rasanya seolah-olah anda disedut keluar dan terus masuk ke Oz.
“Lebih-lebih lagi ketika babak ribut taufan, ia cukup berbaloi dengan harga tiket.
“Ini memang satu pengalaman hiburan dengan teknologi moden yang luar biasa.
“Kita tidak lagi merasai bunyi audio biasa kerana bunyi yang dihasilkan membuatkan mereka (watak) seperti benar-benar di depan mata,” ujarnya.
Untuk makluman, harga tiket The Wizard of Oz dijual dari AS$79 (RM371) hingga AS$99 (RM465) untuk tempat duduk biasa.
Sementara itu, bagi kategori premium tempat duduk berharga antara AS$150 (RM705) hingga AS$250 (RM1,175).














