KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) komited memastikan Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi ASEAN (ARCEOs’) ke-45 sebagai pemangkin kepada kerjasama lebih erat dalam sektor kereta api di rantau ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, fokus utama persidangan selama lima hari itu adalah merangka kerangka tindakan bersama termasuk usaha menyelaraskan protokol operasi.
Selain itu.katanya, ia juga akan menyeragamkan peraturan keselamatan dan membina rangkaian kerjasama bagi melengkapkan sambungan Trans-Asian Railway.
“Bayangkan masa depan tanpa sempadan apabila penumpang dari Hanoi boleh menaiki tren hingga ke Malaysia hanya dengan satu tiket.
“Manakala kargo pula bergerak rentas negara tanpa birokrasi yang melambatkan,” katanya ketika berucap pada Persidangan ARCEOs’ ke-45 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
ARCEOs’ ke-45 pada tahun ini bertemakan “Driving Innovation, Connecting Borders” yang menghimpunkan ketua pegawai eksekutif serta pemimpin organisasi rel dari lapan negara ASEAN iaitu Malaysia, Laos, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Thailand, Myanmar dan Filipina serta lebih 100 delegasi.
Mengulas lanjut, Ahmad Nizam berkata, ARCEOs’ ke- 45 akan menumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu Pembangunan Modal Insan Strategik, Kelestarian serta Pendigitalan.
Menurut beliau, menerusi tiga tonggak itu, ia akan melahirkan tenaga kerja berkemahiran masa depan serta memperkukuh amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Ia juga akan mengalihkan kargo dari jalan raya ke rel demi kelestarian, serta mempercepatkan integrasi digital untuk operasi lebih cekap di seluruh rantau.
“KTMB bersedia menjadi rakan strategik proaktif serta berkongsi pengalaman demi kemajuan bersama. Kami mahu persidangan ini meninggalkan legasi yang bermakna kepada generasi akan datang,” katanya.-KOSMO! ONLINE