SKUAD wushu negara menutup tirai Kejohanan Dunia di Brasilia, Brazil dengan kejayaan gemilang apabila berjaya membawa pulang pingat emas kelima awal pagi semalam.
Emas itu hadir menerusi gandingan mantap Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min yang mengungguli acara duilian wanita selepas memungut 9.630 mata.
Trio wanita negara itu mengetepikan cabaran Itali yang berpuas hati dengan kejayaan pingat perak (9.623 mata), manakala gangsa menjadi milik Hong Kong (9.613 mata).
Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt menyifatkan pencapaian kali ini hasil kerja keras luar biasa atlet-atlet negara sepanjang tahun.
“Apa yang membuatkan kami lebih gembira, empat daripada emas ini disumbangkan atlet yang sebelum ini tidak pernah menjejak podium di Kejohanan Dunia.
“Malah, tahun lalu Si Shin Peng dan Jia Rong hampir digugurkan daripada skuad kebangsaan, namun kini mereka membuktikan kemampuan dengan bergelar juara dunia,” katanya.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Jia Rong dan Cheong Min kerana mereka turut memenangi pingat emas bagi acara individu masing-masing sebelum ini.
Jia Rong menghadiahkan emas keempat negara menerusi daoshu dengan catatan 9.726 mata, manakala sehari sebelum itu Cheong Min menyumbang emas dalam acara nangun.
Dua lagi emas negara sebelum ini diraih oleh Shin Peng yang menyerlah dalam acara qiangshu dan jianshu lelaki.
Lima emas itu menjadi pencapaian terbaik dalam sejarah Malaysia di pentas Kejohanan Dunia, sekali gus memecahkan rekod empat emas sewaktu edisi Hanoi 2005 dan Kuala Lumpur 2013.
Ia turut menyaksikan Malaysia muncul naib juara keseluruhan edisi kali ini dengan lima emas, satu perak dan satu gangsa, di belakang China yang memenangi 10 emas serta satu perak. – KOSMO! ONLINE