SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth di sini, hari ini atas lima tuduhan termasuk cuba mencederakan bayi berusia 11 bulan menggunakan pisau pada 9 Ogos lalu.
Tertuduh, Nguyen Minh Hoa, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Vietnam di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua lelaki tempatan dan Nepal dengan pisau di Pasaraya Billion Telaga Air di sini pada pukul 1 tengah hari.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa cuba mencederakan bayi lelaki dengan pisau di lokasi dan masa sama. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa mencuri udang, ketam merah, kerang, ikan cencaru dan ayam bernilai RM180 milik pasar raya berkenaan pada pukul 12.35 tengah hari, hari sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama hingga ketiga atau penjara 23 bulan jika gagal bayar. Bagi pertuduhan empat dan kelima, lelaki itu dihukum penjara lapan bulan. – KOSMO! ONLINE