PUTRAJAYA – Tiada keputusan dibuat setakat ini bagi menuduh mana-mana individu berhubung pelucutan hak wang tunai lebih RM170 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau menyerahkan keputusan membuat pertuduhan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Saya difahamkan Timbalan Pendakwa Raya belum lagi membuat keputusan untuk menuduh mana-mana pihak dalam kes ini.
“Kita tidak meletakkan sebarang garis masa kerana Timbalan Pendakwa Raya adalah badan bebas, manakala SPRM hanya menjalankan siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata, wang tunai berjumlah RM170 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu kini sah menjadi hak milik kerajaan.
Katanya,, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan melucut hak wang itu selepas pihak responden tidak mencabar permohonan tersebut.
Pada 7 Julai lalu, SPRM memfailkan permohonan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri yang disita daripada Mohammad Anuar kepada kerajaan Malaysia. – KOSMO! ONLINE