KUALA LUMPUR – Kerajaan dalam peringkat akhir bagi memperincikan semua aspek pelaksanaan serta memberi pemahaman luas kepada semua pihak berhubung cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, senarai dasar Ombudsman Malaysia sedang
dimuktamadkan sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri.
“Ombudsman Malaysia usaha berterusan untuk memperkukuh tadbir urus yang baik, meningkatkan akauntabiliti perkhidmatan awam dan menyediakan saluran aduan yang lebih efektif kepada rakyat.
“Idea untuk menggantikan peranan Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dengan Ombudsman Malaysia bukan sesuatu yang baru, namun kesungguhan merealisasikan institusi ini meningkat ketara bermula tahun 2023,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari.
Beliau menjawab soalan Senator Pele Peter Tinggom berhubung status cadangan kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ombusdman bagi memantapkan lagi tadbir urus negara.
Kulasegaran berkata, sebanyak enam Sesi Libat Urus (SLU) holistik telah dijalankan mengikut zon di seluruh negara yang melibatkan 665 peserta.
Menurut beliau, proses SLU itu juga merangkumi penandaarasan dengan model Ombudsman yang berjaya di peringkat antarabangsa seperti di Australia, New Zealand, Indonesia dan Timor Leste.
“Kerajaan Madani komited untuk memastikan kerangka Ombudsman Malaysia yang bakal diwujudkan menyeluruh, bebas, berkecuali dan relevan serta efektif dalam konteks sosio-politik Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE