PETALING JAYA – Kisah inspirasi seorang guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Redang, Kuala Terengganu mencuri perhatian apabila dedikasi dan semangat beliau diangkat sebagai tonggak utama dalam usaha merealisasikan agenda reformasi pendidikan di pulau tersebut.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam hantaran di Facebooknya berkongsi nukilan menyifatkan guru tersebut sebagau wanita perkasa.
“Di sebalik kisah yang kami bawakan dari Pulau Redang ini, tersimpan inspirasi penting. Selain anaknda Amir, wanita perkasa berbaju merah itu dan para guru serta masyarakat Pulau Redang menjadi tonggak utama dalam agenda reformasi pendidikan ini.
“Siapakah gerangan wanita berbaju merah itu ? Beliau adalah Guru Besar SK Pulau Redang yang sangat luar biasa dedikasinya untuk reformasi pendidikan di Pulau Redang.
“Sangat luar biasa semangatnya! Moga Allah SWT terus memberikan kekuatan dan kesabaran kepada beliau untuk terus memimpin pendidikan di Pulau Redang ini!,” katanya.
Beliau turut menitipkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Wan Hashim bersama pasukannya yang melakukan lawatan susulan ke Pulau Redang bagi meneliti perancangan akses pendidikan di kawasan berkenaan.
“Inilah semangat ‘Madani Bekerja’ kerana komitmen kami jelas untuk terus memastikan agenda pendidikan sampai ke ranah masyarakat.
“Alhamdulillah, perancangan akses pendidikan diteruskan untuk manfaat anak-anak di Pulau Redang khususnya bagi prasekolah dan model K11,” katanya. – KOSMO! ONLINE