PETALING JAYA – Tular di media sosial tindakan seorang pemilik yang didakwa mengenakan syarat luar biasa kepada bakal penyewa apabila mewajibkan bayaran pendahuluan sebanyak RM500 sebelum mereka dibenarkan meninjau keadaan rumah.
Lebih mengejutkan, pemilik berkenaan turut menetapkan wang tersebut akan ‘hangus’ sekiranya individu yang membuat bayaran itu tidak berminat untuk meneruskan sewaan selepas melihat rumah.
Menerusi pendedahan seorang pengguna Threads, peraturan pelik itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan dia menganggap tindakan pemilik rumah berkenaan sebagai satu bentuk penindasan.
“Korang (kalian pernah hadapi situasi macam ini? Owner (pemilik rumah) tetapkan bayaran RM500 sebagai syarat nak tengok rumah. Kalau tak jadi sewa, RM500 kita ‘burn’,” katanya.
Menurut pengguna tersebut, kebiasaannya bakal penyewa hanya perlu membuat bayaran deposit selepas membuat keputusan untuk menyewa, bukannya sebelum meninjau kediaman.
“Kalau kena deposit (wang pendahuluan) lepas tinjauan untuk ‘lock’ rumah, wajar la macam itu. Ke aku kena scam (tipu)?,” soalnya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen menggesa pihak berkuasa seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Tribunal Tuntutan Pengguna mengambil perhatian terhadap isu berkenaan kerana bimbang ia menjadi trend baharu dalam pasaran sewaan rumah.
“Pihak KPKT dan pihak berkuasa lain boleh dah tinjau-tinjau mungkin memang wujud trend macam ini dari tuan rumah. Melampau rasanya kalau nak tinjau rumah pun dah dikenakan bayaran,” kata @Alex_yy.
“Ke orang tengah, dia bukan tuan rumah tapi sengaja ambil kesempatan. Sebab memang ada orang ketiga yang akan uruskan proses sewa antara penyewa dengan tuan rumah,” kata Sayuti. – KOSMO! ONLINE