PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Perdagangan Luar Luxembourg, Xavier Bettel di pejabat beliau di Putrajaya.
Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pertemuan tersebut memperlihatkan kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan, kewangan dan logistik.
“Platform ini juga kami gunakan untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk peranan dimainkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan situasi di Asia Barat khususnya Palestin.
“Selain meningkatkan kerjasama erat melalui rangka Kesatuan Eropah demi manfaat kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE













