LUMUT – Seramai 25 nelayan sebuah bot nyaris maut apabila vesel dinaiki terbakar dalam kejadian di kedudukan 6.4 kilometer dari Pelantar Alep di Pantai Remis dekat sini semalam.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut pada pukul 11.11 malam dengan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dikerah ke lokasi.
Beliau berkata, kejadian itu melibatkan kebakaran sebuah bot pukat jerut kelas C yang mana ia terbakar sehingga 80 peratus.
“Terdapat 25 orang nelayan telah diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berdekatan lokasi kebakaran setelah terjun ke laut dan dibawa ke Pelantar Alep,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil perbincangan bersama pemilik bot, bot yang memiliki kapasiti diesel sebanyak 10,000 liter itu sedia untuk dikaramkan dan ditunda ke tengah laut menggunakan bantuan dari bot nelayan yang berada berdekatan lokasi.
“Operasi pemadaman telah diteruskan atas permintaan pemilik bot kerana memerlukan bangkai bot tersebut.
“Ketua operasi mengarahkan anggota membuat pemadaman menggunakan dua aliran 60 meter dua pancutan bersumberkan air terbuka dan pam angkut sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Shazlean berkata, operasi terkawal pada pukul 1.01 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 2.57 pagi. – KOSMO! ONLINE