PETALING JAYA – Tiga lagi sukarelawan rakyat Malaysia yang mengikuti misi Global Sumud Flotilla (GSF) tiba di Tunisia pukul 1 pagi waktu tempatan.
Mereka ialah Eksekutif Strategik Cinta Gaza Malaysia, Muhd. Haikal Luqman Zulkefli, Perunding Media AlKhair Malaysia, Razali Awang serta pelakon dan aktivis kemanusiaan, Ardell Aryana.
Perkara itu dikongsikan oleh Muhd. Haikal Luqman menerusi satu video dikongsikan pada Instagramnya hari ini.
“Kita baru sahaja berlabuh di pantai Tunisia. Saya rasa saya adalah antara kapal terakhir bersama Razali Awang dan Ardell. Kita sampai lebih kurang
pukul 1 pagi.
“Masih menunggu sekitar pelabuhan untuk sahkan pasport. Kita akan kembali berehat di penginapan yang disediakan. Doakan kami dan teruskan bercakap soal Palestin,” katanya pada video berkenaan.
Pagi tadi Kosmo! Online melaporkan, lima daripada 15 sukarelawan rakyat Malaysia yang mengikuti misi GSF selamat tiba di Tunisia.
Mereka ialah Pengasas Cinta Salam Malaysia, Musa Nuwayri, sukarelawan Cinta Salam Malaysia, Iylia Balqis, Editor Video Cinta Gaza Malaysia, Sul Aidil, penyanyi, Zizi Kirana dan Pendakwah, Rahmat Ikhsan Sofyan atau lebih dikenali PU Rahmat.
Misi kemanusian GSF memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona, pada 31 Ogos dengan usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.
Sukarelawan dari 44 negara menyertai misi GSF dengan penyertaan dari Asia digabungkan di bawah inisiatif Sumud Nusantara.
Aktivis Sumud Nusantara terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Maldives, Bangladesh, Bhutan, Thailand, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan. – KOSMO! ONLINE