PETALING JAYA – Lima daripada 15 sukarelawan rakyat Malaysia yang mengikuti misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Tunisia.
Mereka ialah Pengasas Cinta Salam Malaysia, Musa Nuwayri, sukarelawan Cinta Salam Malaysia, Iylia Balqis, Editor Video Cinta Gaza Malaysia, Sul Aidil, penyanyi, Zizi Kirana dan Pendakwah, Rahmat Ikhsan Sofyan atau lebih dikenali PU Rahmat.
Menerusi perkongsian pada Instagram Musa Nuwayri, beliau memuat naik gambar bersama Zizi Kirana, Sul Aidil dan Iylia Balqis.
“Kami dah selamat sampai Tunisia. Sekarang menuju ke tempat berehat,” katanya pada kapsyen.
Selain itu, Sul Aidil turut memuat naik video sambutan daripada sukarelawan dan orang awam sewaktu tiba di Tunisia.
“Kami dah berlabuh di Tunisa, tengah jalan masuk Tunisa, saya ‘belanja’ (video) sambutan dia orang di sini. Dah menantikan kami,” katanya.
Sementara itu, PU Rahmat turut memaklumkan telah tiba di Tunisia.
“Izinkan kami berehat sebentar. Selepas lapan hari di laut, ini hari pertama saya mandi dan menjamu selera makanan panas. Nak mengadu lebih tak terungkap kerana mengenang rakyat Gaza. Jumpa esok,” katanya.
Misi kemanusian GSF memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona, pada 31 Ogos dengan usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.
Sukarelawan dari 44 negara menyertai misi GSF dengan penyertaan dari Asia digabungkan di bawah inisiatif Sumud Nusantara.
Aktivis Sumud Nusantara terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Maldives, Bangladesh, Bhutan, Thailand, Sri Lanka, Nepal dan Pakistan. – KOSMO! ONLINE