PETALING JAYA – “Rindu pula masa ini cari abah, sekarang abah dah bedridden (terlantar sakit). Selamat hari ulang tahun abah ke-73.”
Demikian kata Hasnan Hussin yang dikongsikan menerusi TikTok, memaparkan video lama mencari bapanya yang menghidap dementia berjalan di persekitaran Saujana Puchong.
Dalam rakaman berdurasi 34 saat itu, kelihatan abah berjalan menggunakan tongkat sebelum ditemui dan ditegur, lalu diajak pulang ke rumah.
“Baru sebulan selepas keluar hospital, abah perlahan-lahan terlantar di katil. Sekarang dua ke tiga langkah saja boleh berjalan,” katanya di ruangan komen.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang mengenali abah dan mendoakan kesejahteraan serta kesihatannya, disamping meluahkan rasa rindu kepada ibu bapa sendiri.
“Mak saya pun dementia, 74 tahun, tak ingat apa dah tapi kuat berjalan lagi. Kami memang tak bagi keluar, berjalan dalam rumah saja,” kata Bedah.
“Rindu pada arwah mak saya. Rekodlah banyak video, bila dah tiada, rindu tak terkata nanti,” kata Misha.- KOSMO! ONLINE