fbpx
UMAR (kiri) akan menjadi sandaran kontinjen negara tanpa penyertaan Azeem di Kejohanan Dunia Tokyo bermula 13 September ini.

Umar ganti Azeem ke Kejohanan Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelari negara, Umar Osman menjadi sandaran tunggal kontinjen Malaysia ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun selepas Muhammad Azeem Fahmi tidak akan beraksi.

Kejohanan berprestij itu dijadual berlangsung dari 13 hingga 21 September ini dengan menghimpunkan atlet-atlet terbaik dunia yang menyaksikan Olahraga Malaysia (MA) mengesahkan Umar dipilih melalui slot wildcard untuk acara 400 meter (m) lelaki.

Atlet berusia 22 tahun itu kini memegang rekod kebangsaan dengan masa 46.09 saat (s) yang dilakar tahun lalu, selain menampilkan prestasi konsisten sepanjang 2025 termasuk catatan 46.25s pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea Selatan, Mei lalu.

Sebaliknya, Azeem yang memiliki mata kelayakan lebih tinggi memilih untuk memberi tumpuan penuh terhadap persiapan bagi kejohanan utama 2026 termasuk temasya Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya.

Turut tidak tersenarai adalah pelari wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang dikatakan kini memberikan fokusnya kepada Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok pada Disember depan.

Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, meskipun tiada atlet negara berjaya melayakkan diri secara merit, slot wildcard yang diberikan kepada Umar tetap membuka ruang buat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di Tokyo.

“Penyertaan Umar di Kejohanan Dunia diharap menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia, selain menyemarakkan semangat perjuangan atlet negara di pentas dunia,” katanya dalam kenyataan rasmi MA hari ini.

Kali terakhir Malaysia tampil di Kejohanan Dunia adalah menerusi penyertaan Azeem pada edisi Budapest 2023, namun pelari muda itu tidak dapat melayakkan diri ke separuh akhir.

Kali ini, tumpuan akan terarah kepada Umar yang menjadi satu-satunya wakil negara di Tokyo. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI