KUALA LUMPUR – Sebarang aktiviti pemasaran atau promosi produk berbentuk skim ‘Buy Now, Pay Later’ (BNPL) tidak dibenar dilakukan dalam institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud berkata, larangan itu bagi mengelak mahasiswa terjebak dengan hutang berpanjangan, rekod kredit yang negatif dan tekanan kewangan selepas tamat pengajian.
“Semua IPT diingatkan untuk tidak menggalakkan sebarang aktiviti pemasaran atau promosi produk berbentuk skim BNPL secara langsung kepada pelajar dalam kampus. Yang ini (BNPL) memang kita tidak benarkan masuk kampus,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Azahar Hassan mengenai inisiatif untuk memberikan pendedahan berkaitan skim BNPL yang menyebabkan ramai pelajar IPT dibebani hutang.
Terdahulu, Mustapha berkata, KPKT mengadakan kerjasama strategik dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk memberi khidmat kaunseling kewangan secara percuma kepada pelajar yang telah atau berisiko terjebak hutang BNPL.
Katanya, KPT turut bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), RHB Bank Berhad, Amanah Saham Nasional Berhad, Polis Diraja Malaysia, Bursa Malaysia dan pihak IPT bagi melaksanakan advokasi dan kesedaran dalam pengurusan kewangan kepada mahasiswa.
Tambahnya, pendedahan awal kepada mahasiswa ketika orientasi dibuat supaya mereka memahami aspek pengurusan kewangan peribadi serta pelaburan yang sahih dan mengelakkan diri menjadi mangsa ‘scam’.
“Sokongan kaunseling kaunselor-kaunselor di universiti awam akan menyediakan sesi kaunseling khusus dan bersasar bagi mana-mana pelajar yang terjebak dalam masalah hutang atau kekangan kewangan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Azahar sama ada kerajaan bercadang menyekat atau mengehadkan akses mahasiswa terhadap BNPL, Mustapha berkata, perkara itu akan dapat ditangani di bawah Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025.
RUU itu diluluskan di Dewan Negara pada 4 September lalu akan diwartakan oleh Kementerian Kewangan akhir tahun ini. – KOSMO! ONLINE