fbpx
DE BRUYNE

Sentuhan ‘kuda tua’ masih berbisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ANDERLECHT – Kapten Belgium, Kevin De Bruyne membuktikan dirinya masih lagi boleh dianggap sebagai watak penting pasukan itu apabila meledak dua gol ketika membelasah Kazakhstan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 awal pagi tadi.

Belgium terpaksa menunggu sehingga minit ke-42 untuk memecah kebuntuan dalam aksi keempat Kumpulan J berlangsung di Lotto Park hasil jaringan pertama De Bruyne.

Bekas perancang tengah Manchester City itu yang kini menyarung jersi Napoli musim ini, meledak gol kedua peribadi pada minit ke-84.

“Saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri di Naples, Itali (Napoli). Saya juga berikan segala-galanya untuk kembali ke tahap terbaik.

“Namun, masih banyak lagi perkara yang boleh saya tingkatkan untuk memberikan keputusan bagus buat kelab dan Belgium. Saya berharap sesuatu yang bagus selepas ini,” kata De Bruyne.

Selain bintang berusia 34 tahun itu, Jeremy Doku turut menyinar apabila meledak dua gol pada minit ke-44 dan 60 serta mencipta dua bantuan jaringan sepanjang perlawanan tersebut.

Baki dua lagi Belgium dalam aksi tersebut dijaringkan oleh Nicolas Raskin dan Thomas Meunier masing-masing pada minit ke-51 serta 87.

Secara keseluruhan, Belgium kini mengumpul 10 mata untuk berada di tempat kedua Kumpulan J, satu mata di belakang Macedonia Utara yang menewaskan Liechtenstein 5-0 dalam satu lagi aksi berlangsung awal pagi tadi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN