fbpx
MUHAMAD YUSRI (lima dari kanan) ketika memberi taklimat kejadian gempa bumi di Pejabat JKR Daerah Segamat hari ini.

Segamat, Batu Pahat syor dimasukkan dalam peta bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Daerah Segamat dan Batu Pahat disaran dimasukkan dalam peta bencana atau hazard seismik yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada masa akan datang.

Menurut Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat, Ir. Muhamad Yusri Zainal, tujuan pemetaan itu bagi membolehkan struktur bangunan di daerah tersebut direka bentuk dengan ciri ketahanan lebih kukuh.

“Sejak September 2017, semua bangunan kerajaan dan jambatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (Rolling Plan 1 hingga 5) mengambil kira faktor seismik dalam reka bentuk berpandukan peta bencana yang diguna pakai ketika ini.

“Namun berdasarkan semakan terkini, Segamat tidak termasuk dalam peta hazard tersebut. Batu Pahat juga antara kawasan yang wajar diberi perhatian kerana turut terkesan dengan gegaran.

“Oleh itu, JKR mengesyorkan supaya MET mengemas kini ‘hazard map’ agar kedua-dua daerah ini dimasukkan dalam senarai.

“(Tindakan) Ini penting kerana apabila kawasan berada dalam peta bencana, reka bentuk bangunan mesti mematuhi piawaian MSEN 1998 National Annex termasuk penggunaan konkrit gred tinggi dan perincian keluli lebih kukuh,” katanya ketika ditemui di Pejabat JKR Segamat di sini hari ini.

Jelas beliau, JKR komited bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk hospital, kolej komuniti dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan awam termasuk ketika bencana seperti banjir dan gegaran.

“Johor pernah alami gegaran pada 1922 dan insiden terkini di Segamat membuktikan perlunya peta hazard seismik dikaji semula agar lebih tepat dan menyeluruh.

“Kerja-kerja pemulihan bangunan kerajaan yang terjejas akibat gegaran akan dilaksanakan sebaik sahaja peruntukan diterima daripada kementerian atau jabatan berkaitan sebelum ditawarkan melalui proses tender,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN