KLANG – Berbekalkan umpan udang hidup, seorang pemancing, Rostam Ibrahim, 50, berjaya menaikkan senangin seberat 2.285 kilogram (kg) membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Dia yang berasal dari Pekan, Pahang berkata, kemenangan itu adalah di luar jangka dan menganggapnya rezeki paling bermakna dalam hidupnya dalam pertandingan memancing Sufcasting Tanjung Harapan Challenge 2025 di sini Ahad lalu.
“Alhamdulillah atas kemenangan ini,” ujarnya.
Dalam acara itu, Pantai Tanjung Harapan mencuri tumpuan apabila lebih 400 pemancing dari seluruh negara ‘berkampung’ bagi mencuba nasib pada pertandingan tersebut.
Pertandingan ini merupakan anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Kail Kota Events, serta sokongan penuh Tourism Malaysia, sebagai salah satu pengisian istimewa menjelang Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Lebih 300 ekor ikan pelbagai spesies berjaya didaratkan sepanjang pertandingan, termasuk ketuka, duri, mayong, senangin, semilang, tebal pipi, talang, gelama, todak dan daun baru.
Menurut Ahli Majlis MBDK (N44A), Lee Fu Haw, acara ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan setempat.
“Kehadiran artisan peserta dari luar negeri memberi petunjuk jelas bahawa Tanjung Harapan mampu dijadikan sebagai destinasi wajib kaki pancing dan tumpuan pelancongan baharu di Selangor,” katanya.
Naib johan pada pertandingan itu disandang Shah Nazad Aman Shah, 57, yang menaikkan ikan mayong seberat 1.305 kg dan menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga milik Muhammad Aleef Ruhaimey Samsuri, 26, menerima RM1,000.-KOSMO! ONLINE.