fbpx
Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Penyampaian Watikah dan Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Perkasa sejarah, budaya dan sastera, bukan hanya teknologi – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Malaysia tidak boleh bergantung kepada teknologi semata-mata dalam mendepani cabaran global sebaliknya perlu terus memperkasa disiplin sejarah, budaya dan sastera sebagai tiang seri pembinaan tamadun negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun negara sedang menuju ke arah digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), aspek sejarah perlu dititikberatkan supaya golongan muda sentiasa berada di landasan betul.

Justeru, katanya, usaha memperkukuhkan pemahaman sejarah dalam kalangan golongan muda perlu dipertingkatkan bagi memupuk minat terhadap sejarah negara sekaligus menaikkan lagi semangat cintakan negara.

“Cabaran ketika ini ialah bagaimana membangunkan naratif kebangsaan yang boleh menembus rintangan agar kecelikan sejarah atau literasi sejarah boleh berkembang dalam kalangan generasi muda dan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran, penyampaian watikah dan mesyuarat Majlis Sejarawan Negara di sini hari ini.

Katanya, aspek penerangan mengenai sejarah negara juga perlu lebih aktif dan menarik bagi menaikkan lagi minat golongan muda untuk memahami sejarah pembentukan Malaysia.

Anwar berkata, golongan muda juga perlu dilatih dalam pelbagai disiplin ilmu merangkumi bahasa, budaya agama dan AI dengan tidak sesekali meninggalkan soal nilai berteraskan berteras amar makruf nahi mungkar.

Menurutnya, sejarah bukan semata-mata disiplin ilmu tetapi ilmu tentang masyarakat dan peradaban.

“Dalam pendidikan saya tekankan konsep. Kita gapai yang di langit, kita menaikkan AI dan alat pemikiran baru tetapi kita mestilah terus mengakar ke bumi kerana sejarah itu untuk kita terus mengakar ke bumi,” katanya.

Jelasnya lagi, sejarah itu harus mendidik dari segi akhlak dan ia tidak sama sekali lari daripada kebenaran dan ketelusan sejarah yang ada.

Dalam pada itu, Anwar berkata, tamadun tidak tertegak dengan teknologi semata-mata sebaliknya tertegak dengan budaya dengan sejarah tamadun itu sendiri.

Pada masa sama, Anwar berkata, Majlis Sejarawan Negara perlu berwacana dengan semua pihak serta memberi nasihat kepada kerajaan untuk mempertingkat literasi sejarah.

“Saya tidak mahu ada anggapan bahawa Majlis Sejarawan Negara ini adalah percubaan awal untuk membetulkan atau meluruskan sejarah Malaysia.

“Tugas kita (Majlis Sejarawan Negara) adalah menanggung semua kekuatan ini, terus berwacana dengan semua pihak kemudian memberikan nasihat kepada kerajaan. Apa lagi yang harus dilakukan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI