BATU PAHAT – Seorang peniaga wanita terpaksa menelan pahit apabila kerugian RM571,242 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui iklan di Facebook.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berusia 55 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi pada 16 Mac tahun lalu.
Jelas, mangsa berurusan dengan seorang individu yang mendakwa sebagai syarikat pelaburan itu melalui aplikasi WhatsApp.
“Antara 10 hingga 31 Julai lepas, mangsa membuat beberapa transaksi ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM571,242. Mangsa kemudian melihat paparan keuntungan sebanyak RM804,000 dalam aplikasi pelaburan tersebut.
“Bagaimanapun, apabila cuba mengeluarkan wang tersebut akaun berkenaan didapati disekat. Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulanuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, Shahrulanuar Mushaddat menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai jenayah komersial melalui portal rasmi Cyber Crime Alert.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan juga disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas menyekat pengaliran keluar wang dilakukan.-KOSMO! ONLINE
Habis//