fbpx
Keadaan motosikal dan penghantar makanan selepas merempuh kerbau di Jalan Sepri-Rembau, di sini, Jumaat lalu. - MEDIA SOSIAL

Penghantar makanan cedera langgar kerbau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Seorang penghantar makanan cedera selepas melanggar kerbau yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Sepri-Rembau, di sini, Jumaat lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Aiman, 20-an, berkata, disebabkan kejadian itu, bahagian hadapan motosikalnya mengalami kerosakan teruk dan kerugian dianggarkan lebih RM1,000.

“Saya sudah bertemu dengan tiga pemilik kerbau berhampiran lokasi kemalangan, namun tiada yang mengaku haiwan tersebut milik mereka.

“Apa yang membuatkan saya terkilan adalah motosikal ini digunakan untuk mencari rezeki bagi menanggung isteri serta dua anak berusia enam tahun dan empat bulan.

“Malah, saya juga cedera di kaki sekali gus membataskan pergerakan. Buat masa ini, saya hanya duduk di rumah di Seremban sehingga motosikal dibaiki dan kaki sembuh,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurut Aiman, ketika kejadian pukul 3.30 petang itu, dia dalam perjalanan dari Rumah Rakyat Pedas menghala ke Taman Seri Rembau untuk menghantar pesanan makanan.

“Ketika itu saya nampak kerbau sedang meragut rumput di tepi jalan jadi saya meneruskan perjalanan. Namun sebaik saya hampiri lokasi kejadian haiwan itu melintas secara tiba-tiba.

“Saya tidak sempat mengelak lalu merempuh haiwan itu. Motosikal saya mengalami kerosakan dan saya turut cedera,” katanya.

Lelaki itu berharap dia mendapat ganti rugi kerana tidak mempunyai kenderaan lain selain terpaksa membayar komitmen bulanan lain.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI