GEORGE TOWN – Seorang pengantin lelaki berjaya mencipta kelainan pada hari pernikahannya apabila tular membawa hantaran seekor kuda ke rumah pasangannya di Bukit Berangan, Seberang Perai Selatan di sini, baru-baru ini.
Dia yang dikenali sebagai Saiful Akmal dikatakan telah membuat kejutan dengan membawa kuda jantan kacukan Arab ke rumah keluarga pasangannya bersama beberapa hantaran lain.
Difahamkan, haiwan peliharaan yang dipakai sarung kaki berwarna merah dan dihias reben pada badan itu diberi nama Putra Ramadhan aka Oppa.
Video berdurasi 21 saat yang dikongsi di facebook itu turut mendapat pujian daripada pengguna media sosial. Rata-rata netizen turut teruja dengan hadiah hantaran yang diberikan pasangan pengantin lelaki tersebut.
“Nasib baik dia tak bawa gajah seekor,” tulis Andak Razak.
“Tahniah, hantaran rare kuda tu. Jaga elok-elok,” balas Pasha Che Rizal.
“Lain macam hadiah kahwin,” tutur pengikut lain.
Kurang sejam dimuat naik, video tersebut mendapat 1,100 tanda suka, 61 komen dan 59 perkongsian. -KOSMO! ONLINE