fbpx
Proses pengundian di Kolej Tingkatan Enam Bandar Utama.

Pemilihan JPPTE latih pelajar fahami demokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam (JPPTE) yang berlangsung di seluruh negara hari ini menjadi medan latihan awal dalam membentuk pelapis kepimpinan negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Hanisah Mohd Ali berkata, proses pemilihan yang dijalankan serentak di seluruh negara itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar memilih wakil terbaik mereka, malah melatih pelajar memahami tanggungjawab sebagai warganegara yang berperanan dalam sistem demokrasi.

Beliau berkata, pemilihan tersebut diadakan selaras dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan kepimpinan, komunikasi serta kemahiran insaniah pelajar.

“Asas kepada pertimbangan penubuhan JPPTE ini adalah untuk memastikan suara pelajar itu didengari dan dibawa ataupun diambil kira dalam proses pembuatan keputusan dalam pendidikan di negara kita.

“Ini juga merupakan satu platform praktikal dalam merealisasikan falsafah pendidikan kebangsaan untuk kita membangunkan kemahiran kepimpinan pelajar Tingkatan 6 dari segi komunikasi dan juga tanggungjawab sosial pelajar itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Kolej Tingkatan Enam Bandar Utama, di sini hari ini.

Hanisah berkata, proses pemilihan bermula di peringkat sekolah membabitkan tiga jawatan utama iaitu pengurusi, naib pengurusi dan setiausaha.

“Calon terbaik akan dihantar ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum disaring di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk memilih dua wakil terbaik mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

“Proses penilaian akhir di peringkat kebangsaan dijangka selesai menjelang akhir Oktober ini dengan pembentukan rasmi JPPT6 Kebangsaan,” katanya.

Selain itu katanya, Akademi Suruhanjaya Pilihan Raya turut bekerjasama memberi sokongan profesional bagi memastikan proses pemilihan dan pengundian berjalan lancar serta mematuhi prosedur.

Sementara itu, guru Pengajian Am yang bertindak sebagai Ketua Tempat Mengundi, Solehah Mat Akhir berkata, pemilihan ini membantu pelajar memahami prosedur pilihan raya termasuk penggunaan dakwat, penyemakan calon serta proses membuang undi.

“Simulasi ini memberi ruang kepada pelajar menyaksikan proses berkempen dan mendengar manifesto calon.

Secara tidak langsung, mereka belajar membuat pilihan berdasarkan isu dan keperluan semasa, bukannya sekadar memilih secara rambang,” katanya.

Beliau optimis pendekatan ini mampu melahirkan generasi muda yang celik demokrasi serta lebih bersedia memikul tanggungjawab sebagai pengundi.

Di negeri Selangor terdapat sebanyak 37 Pusat Tingkatan Enam (PTE) termasuk tujuh Kolej Tingkatan Enam (KTE) yang menempatkan pelajar prauniversiti di negeri ini.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan enrolmen murid Tingkatan Enam di Selangor adalah seramai 9,653 orang.

Daripada jumlah itu, seramai 5,965 murid merupakan pelajar Tingkatan Enam Rendah (Semester 1) manakala 3,688 lagi ialah pelajar Tingkatan Enam Atas (Semester 3).- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN