CANBERRA – Seorang wanita Australia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup hari ini selepas didapati bersalah membunuh tiga orang dengan kemungkinan mendapatkan parol selepas 33 tahun.
Erin Patterson, 50, didapati bersalah Julai lalu atas tiga kes pembunuhan kerana menghidangkan cendawan beracun dalam masakan daging Wellington kepada ibu dan bapa mertuanya serta ibu saudara dan bapa saudara suaminya semasa makan tengah di rumah tertuduh pada 2023.
Kes tersebut menarik perhatian podcaster, kru filem, dan peminat kes jenayah ke mahkamah di bandar Morwell, dalam negeri Victoria.
Peminat kes jenayah dari New York hingga ke New Delhi mengikuti kes tersebut dan ramai menggelarkan Patterson sebagai ‘pembunuh cendawan’.
Motif pembunuhan itu kekal misteri.
Patterson dijatuhi hukuman penjara 33 tahun di Melbourne, di mana Hakim Mahkamah Agung Christopher Beale berkata, dia telah menimbulkan ‘trauma’ kepada mangsa dan anggota-anggota keluarga mereka.
“Kedegilan kamu untuk menunjukkan sebarang penyesalan menambahkan lagi duka kepada semua mangsa,” katanya.
“Hanya hukuman maksimum setimpal untuk jenayah yang kamu lakukan,” tambahnya.
Beale menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Patterson tetapi berkata, dia akan layak untuk parol selepas 33 tahun, apabila berusia 83 tahun.
Patterson mempunyai masa 28 hari untuk merayu sabitan dan hukuman tersebut.
Bercakap selepas hukuman dijatuhkan, Pastor Ian Wilkinson iaitu satu-satunya tetamu yang terselamat daripada makan tengah hari cendawan beracun itu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menyokong keluarganya selepas pembunuhan itu.
“Saya ingin menggalakkan semua orang untuk bersikap baik antara satu sama lain.
“Tolong hormati privasi kami semasa tempoh berduka dan kami mencari kesembuhan,” katanya.
Pada Julai lalu, panel 12 juri mendapati Patterson bersalah membunuh ibu dan bapa mertuanya, Don serta Gail Patterson diikuti ibu saudara suaminya, Heather Wilkinson.
Dia juga didapati bersalah cuba membunuh Ian, suami Heather.
Suaminya, Simon juga telah dijemput ke majlis makan tengah hari itu, tetapi menarik diri kemudian kerana dia berasa ‘tidak selesa’ untuk hadir.
Pada masa itu, hubungan Patterson dan Simon telah menjadi renggang.
Pasangan itu sudah lama berpisah tetapi masih berkahwin secara sah. Mereka bertengkar mengenai pemberian nafkah anak Simon. – AFP