fbpx
MOHD. Saim dituduh kes salah guna kuasa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Pembantu tadbir kolej vokasional dituduh 9 kes salah guna kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang pembantu tadbir di sebuah kolej vokasional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa, lima tahun lalu.

Pertuduhan tersebut melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembekalan barangan bernilai RM24,116 di Kolej Vokasional (KV) Sungai Petani 2.

Tertuduh, Mohd. Saim Kasan, 55, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, dia yang merupakan Pembantu Tadbir Gred N22 dan bertugas di KV Sungai Petani 2 didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan kerja-kerja penyelenggaraan di kolej tersebut dengan menggunakan syarikat miliknya, Narinas Enterprise.

Kerja-kerja itu antaranya melibatkan penyelenggaraan perabot, bingkai tingkap dan pintu serta pemasangan jeriji besi bengkel bakeri dengan setiap pertuduhan masing-masing bernilai RM6,220; RM2,161; RM4,558 dan RM1,237.50.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di KV Sungai Petani 2 dalam daerah Kuala Muda antara 13 September hingga 1 November 2020.

Sementara bagi pertuduhan kelima hingga kesembilan, dia didakwa melakukan kesalahan sama untuk mendapatkan suapan kerja-kerja pembekalan keperluan kolej berkenaan dengan menggunakan sebuah lagi syarikat miliknya, Wes Mangan Maju Trading.

Kerja-kerja itu melibatkan pembekalan peralatan pejabat unit hal ehwal pelajar dan pentadbiran; keperluan di unit pentadbiran, unit bimbingan dan kaunseling, mesin penghancur kertas untuk pejabat pentadbiran dan sarung meja untuk bengkel bakeri.

Nilai pembekalan bagi setiap pertuduhan adalah RM3,132.50; RM1,334; RM3,243; RM650 dan RM1,580.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di KV Sungai Petani 2 dalam daerah Kuala Muda antara 17 Februari hingga 22 Oktober 2020.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan asal turut dibacakan ke atas tertuduh.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dan tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana dia perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah serta seorang ibu yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dan tertuduh membayar jaminan tersebut dengan kes ditetapkan untuk sebutan semula kes pada 13 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN