fbpx
DZULKHAIRI menunjukkan barangan yang dirampas hasil serbuan Op Merpati pada sidang akhbar di IPK Polis Melaka di Bukit Beruang, di sini, hari ini.-Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Masuk Malaysia disangka melancong, rupanya jadi ‘scammer’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian selepas menahan 19 individu termasuk pelancong Indonesia dalam Op Merpati di tiga buah kediaman di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mereka terdiri daripada sindiket ‘calling center’ yang menyasarkan mangsa warga Indonesia dan China.

Seramai tujuh lelaki Indonesia berusia 21 hingga 41 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Jalan Tun Perak pada 12.30 tengah hari, 2 September lalu.

“Kita percaya rumah itu dijadikan pusat operasi. Siasatan mendapati mereka datang ke sini secara sah sebagai pelancong sebelum menjalankan aktiviti ‘scam’ sejak tiga bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Menurut beliau, mereka menerima upah bulanan sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 untuk menipu mangsa dengan cara mengiklankan telefon bimbit, motosikal dan kereta pada harga murah di Facebook.

Katanya, mangsa akan dihubungi melalui Telegram dan diarah membuat bayaran pendahuluan ke akaun dipercayai milik ketua sindiket.

Beliau berkata, tangkapan ke atas sindiket kedua dibuat pada pukul 1.30 petang di sebuah rumah di Ayer Keroh, di sini 3 September lalu.

“Seorang lelaki tempatan, lima warga China dan dua wanita Filipina berusia 30 hingga 60 tahun ditahan selepas disyaki menipu mangsa yang terdiri daripada warga China.

“Hasil soal siasat, kita mengesan baki ahli sindiket di sebuah rumah di Banda Hilir. Kita menahan empat lelaki China berusia 24 hingga 32 tahun yang dipercayai diupah hampir RM10,000 sebulan untuk menipu berkaitan perkhidmatan seks,” katanya.

Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai barangan bernilai RM575,000 termasuk tiga buah kereta, tujuh komputer riba dan 29 telefon bimbit.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN