fbpx
Rizwandean ketika ditemui media selepas prosiding inkues kematian arwah Zara Qairina pada Isnin. - FOTO IVAN AMIRUL/KOSMO!

Peguam ibu Zara Qairina lantik pakar tulisan tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA KINABALU – Kumpulan peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir melantik pakar untuk memeriksa 21 dokumen dipercayai mengandungi tulisan tangan pelajar tingkatan satu itu.

Peguam Rizwandean M. Borhan berkata, pihaknya sudah memohon kepada Mahkamah Koroner di sini agar pakar yang dilantik dibenarkan hadir membuat pemeriksaan terhadap dokumen terbabit.

“Masih terlalu awal untuk menilai isi kandungan dokumen itu selepas pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia selesai memberi keterangan sebagai saksi kedua hari ini.

“Hari ini saksi pakar tulisan tangan dari Jabatan Kimia memberi keterangan berhubung beberapa dokumen yang dikatakan diari, ada juga cebisan kertas, cebisan buku. Buku teks sekolah pun ada beratus muka surat.

“Perkara penting adalah belum ada keputusan atau belum dapat dipastikan semua tulisan ini ditulis oleh mana-mana pihak yang dikenali atau oleh arwah sendiri.

“Ini baru hanya dipanggil contoh ‘spesimen’ tetapi belum dapat dipastikan siapa yang menulis.

“Kami bagi pihak ibu Zara melantik pakar tulisan tangan sendiri untuk memeriksa dokumen ini selain akan membuat permohonan kepada Mahkamah Koroner supaya pakar (dilantik) kami dibenarkan hadir membuat pemeriksaan terhadap dokumen-dokumen ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Allahyarham Zara Qairina hari ini.

Mengulas lanjut, Rizwandean berkata, pihaknya akan membuat janji temu dengan agensi berkaitan bagi menentukan tempat dan waktu agar pakar yang dilantik dapat memeriksa dokumen berkenaan.

“Itu yang lebih baik pada pandangan saya berbanding tergesa-gesa membuat kesimpulan.
Jadi masih terlalu awal untuk menilai isi kandungannya,” katanya. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN