fbpx
PEDERSEN (kanan) meraikan kejayaannya menjuarai perlumbaan Vuelta a Espana edisi kali ini. - AFP

Pedersen raih kemenangan sulung Vuelta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MONFORTE DE LEMOS – Pelumba Denmark, Mads Pedersen akhirnya menamatkan penantian panjang apabila menjuarai peringkat ke-15 Vuelta a Espana awal pagi tadi sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukan Lidl-Trek dalam edisi kali ini.

Pedersen yang mengenakan jersi hijau, muncul juara selepas mengetepikan saingan sembilan pelumba dalam kelompok hadapan untuk menutup minggu kedua perlumbaan dengan penuh bergaya.

Kejayaan itu merupakan kemenangan keempat kariernya di Vuelta, namun yang pertama dalam edisi ke-80 selepas berhempas pulas memburu kejayaan sejak dua minggu lalu.

“Ia sangat manis, terutama selepas seharian semua orang tahu apa yang kami mahukan. Semua menjangka kami akan cuba dan memang itu yang berlaku. Rakan sepasukan bekerja keras sepanjang hari dan saya berjaya balas usaha mereka,” kata Pedersen.

Pelumba berusia 28 tahun itu tidak berdepan masalah menewaskan Orluis Aular (Movistar), Marco Frigo (Israel-Premier Tech), Santiago Buitrago (Bahrain-Victorious) dan Eddie Dunbar (Team Jayco AlUla) pada pecutan terakhir menuju garisan penamat.

Turut menamatkan saingan bersama kelompok sama ialah Egan Bernal (Ineos Grenadiers) dan Louis Vervaeke (Soudal Quick-Step), manakala Jay Vine (UAE Team Emirates-XRG) sekadar lapan saat di belakang.

Seperti dijangka, pelumba kategori keseluruhan hanya mengekori dengan selamat tanpa melakukan serangan, sekali gus memberi peluang penuh kepada pakar pecut memonopoli pentas utama.

Jonas Vingegaard (Visma-Lease a Bike) kekal selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan 48 saat ke atas Joao Almeida (UAE Team Emirates), diikuti Tom Pidcock (Q36.5 Pro Cycling) pada 2:38 minit dan Jai Hindley (Red Bull-Bora-Hansgrohe) 3:10 minit. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN