MUAR – Perbuatan keji seorang peniaga makanan ringan memperkosa anak angkat kepada adik iparnya tiga tahun lalu berbalas apabila dia dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 32 tahun selepas meneliti dan mengambil kira hujahan dan rayuan kedua-dua pihak bagi mensabitkan lelaki tersebut atas kesalahan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Batu Pahat, dekat sini pada pukul 3 pagi, April 2022.
Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengetua sekolah mangsa pada 13 Ogos lalu yang memaklumkan pelajar itu dirogol abang iparnya yang juga tertuduh.
Siasatan awal mendapati mangsa merupakan anak angkat kepada adik ipar tertuduh dengan kejadian berlaku ketika remaja itu terjaga dan mahu ke tandas untuk membuang air.
Ketika kejadian, tertuduh berada di ruang tamu sambil menonton televisyen. Tertuduh kemudian mengekori mangsa ke dalam bilik sebelum menarik seluar kanak-kanak itu.
Tertuduh menutup mulut mangsa dengan tangan supaya jeritannya tidak didengari ahli keluarga lain.
Mangsa pernah menceritakan kejadian itu kepada ibu angkatnya, namun tidak diendahkan sebaliknya dituduh membuat fitnah.
Kejadian itu terbongkar apabila pihak sekolah menjumpai nota yang ditulis mangsa berkaitan kes ini. Selepas ditanya, mangsa menceritakan kejadian itu sebagai pihak sekolah sebelum membuat laporan polis pada pukul 11.03 pagi, 1 September lalu.
Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk pemeriksaan. -KOSMO! ONLINE