KOTA KINABALU – Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan kekesalan ekoran penularan gambar barang kes membabitkan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di media sosial.
Berikutan itu beliau mengingatkan pihak yang mempunyai akses terhadap barang kes di mahkamah agar sentiasa memastikan ia tidak dikongsikan kepada pihak luar.
“Memuat naik (gambar) barang kes mendahului prosiding mahkamah boleh diambil tindakan menghina mahkamah.
“Pihak berkuasa perlu cuba mengambil tindakan walaupun kita tidak dapat menghentikan semua orang,” katanya pada prosiding inkues hari ini.
Amir Shah memberi amaran itu selepas menerima aduan tentang gambar barang kes yang disebar di media sosial.
Terdahulu, difahamkan sebuah akaun Facebook pada Isnin menyebarkan gambar lembaran kertas yang didakwa mengandungi tulisan tangan arwah Zara Qairina.- KOSMO! ONLINE