fbpx
Tangkap layar video dikongsikan di Facebook Mr Wan Cai hari ini.

Kucupan, tatapan terakhir seorang isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang isteri tidak mampu menahan sebak ketika mencium jenazah suaminya berulang kali sebagai tanda penghormatan terakhir buat cinta hati yang pergi menghadap Ilahi.

Situasi penuh emosi itu sempat dirakam dan dikongsikan menerusi hantaran di Facebook pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mr. Wan Cai hari ini.

“Tiada perpisahan yang lebih berat dirasai seorang isteri selain kehilangan pendamping hidupnya.

“Wafatnya seorang suami bukan sekadar hilangnya cinta sejati, tetapi juga hilangnya sahabat perjalanan, imam dalam rumah tangga, dan tempat bersandar di kala lelah,” kata hantaran itu.

Dalam hantaran sama, Wan Cai turut menitipkan peringatan setiap manusia pasti akan kembali kepada Sang Pencipta pada waktu yang telah ditentukan.

“Kematian bukanlah akhir, melainkan awal dari perjalanan menuju keabadian. Doa dan amal soleh yang terus dipanjatkan adalah bukti cinta yang tidak terputus.

“Semoga Allah SWT menerima amal ibadah Allahyarham, mengampuni dosa-dosanya, melapangkan kuburnya, serta menempatkannya di tempat yang paling mulia di sisi-Nya,” katanya.

Allahyarham Mohd. Naszree, 41, meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman.

Video itu turut mendapat lebih 34,000 tontonan dalam masa 40 minit. Di ruangan komen, ramai yang mendoakan agar wanita tersebut kuat menerima ujian hidup.

“Moga puan dan anak kuat, insya-Allah pertemukan semula di syurga kelak,” kata Asyikin.

“Semoga tabah puan. Yang hidup pasti mati, tidak tahu masanya. Salam takziah,” ujar Tenty Zack.

Terdapat pengguna Facebook berkongsi pengalaman kehilangan insan tersayang terutama suami.

“Saya juga melalui pengalaman seperti puan 11 bulan lepas, suami pergi ketika usia 40 tahun. Sesiapa yang kehilangan tempat bergantung tahu rasanya bagaimana, saya turut bersedih.

“Salam takziah buat puan dan anak-anak, semoga Allah merahmati insan-insan yang kita sayang dan tempatkan mereka di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” ujar Mamanya Raisha. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN