SEGAMAT – Kerosakan kecil 15 bangunan kerajaan ekoran enam siri kejadian gempa bumi lemah di daerah ini sejak 24 Ogos lalu memerlukan peruntukan RM550,000 bagi kos baik pulih.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja baik pulih itu perlu dilakukan segera selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini.
Bangunan yang terkesan adalah Hospital Segamat, Klinik Kesihatan (KK) Segamat, Bandar Putra Segamat, Kuarters Kesihatan Batu Anam, Klinik Desa Kampung Jabi, Kuarters Polis Daerah Segamat, Pejabat Kadi Daerah Segamat, kuarters negeri Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kolej Komuniti Daerah Segamat.
“Premis lain yang turut terkesan adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah, SJKC HSA Nan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jawa dan SK Dato’ Wan Idris.
“Semua bangunan itu mengalami kerosakan kecil seperti keretakan permukaan plaster, pepenjuru dinding selain regangan antara panel dinding, regangan antara panel dinding dengan tiang dan rasuk serta regangan antara siling dengan dinding.
“Kos baik pulih bangunan akan ditanggung kementerian yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JKR Daerah Segamat di sini hari ini. Turut hadir, Jurutera Daerah JKR Segamat, Ir. Muhammad Yusri Zainal.
Pasukan Forensik Cawangan Kejuteraan Awam dan Struktur JKR turut melaksanakan pemeriksaan terhadap keselamatan bangunan dan mendapati ia selamat digunakan ekoran tiada risiko keselamatan kepada pengguna.
Beliau berkata, sebanyak 62 buah rumah penduduk dan dua surau turut mengalami kerosakan, namun jumlah kerugian belum diketahui.
Pihak JKR turut melakukan pemeriksaan bangunan dan pemantauan ke atas aset serta jambatan di jalan Persekutuan sepanjang 325 kilometer (km) dan jalan negeri 242.11km. -KOSMO! ONLINE