KUALA LUMPUR – Acara Keretapi Sarong 2025 (KS25) Rapid KL kali ke-9 bukan sahaja akan dianjurkan serentak di beberapa buah negeri, malah ia turut dianjurkan merentasi benua di Jerman, Australia dan London pada 13 September ini.
Selain ibu negara, acara anjuran LOCCO yang mendapat sokongan Rapid KL itu turut diadakan di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kedah, Kelantan, Johor dan Melaka.
Pengasas bersama LOCCO, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, acara dengan tema Serumpun itu diadakan sempena sambutan Hari Malaysia Sabtu ini kecuali di Berlin dan Melbourne yang diadakan pada 31 Ogos lalu.
Katanya, acara itu bakal mengumpulkan 20,000 peserta yang akan bersarung dan menaiki tren serta bas dari 11 stesen permulaan di Lembah Klang, sebelum bertemu di destinasi pusat di Kuala Lumpur.
“Acara itu mengingatkan kita mengenai perpaduan tidak terbatas pada geografi sebaliknya ia adalah warisan bersama dan denyut irama yang menghubungkan kita sebagai rakyat Malaysia dan sebahagian daripada keluarga ASEAN.
“Keunikan ini menjadikan KS25 bukan sahaja perayaan tempatan, malah sebuah gerakan budaya global yang menyatukan rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Sementara itu, Ketua Komunikasi & Penjenamaan Kumpulan, Prasarana Malaysia Berhad, Adli Abdul Karim berkata, sokongan Rapid KL terhadap KS25 seiring dengan peranan mereka sebagai nadi pergerakan rakyat Malaysia.
“Hari Malaysia bukan sahaja tentang meraikan sejarah dan identiti, tetapi juga bagaimana kita bergerak. Dengan rangkaian tren dan bas Rapid KL sebagai nadi pergerakan ini, kami berbangga menyokong tradisi yang menyatukan rakyat melalui budaya, seni dan mobiliti,” jelasnya.