BACHOK – Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) enggan mengulas lanjut mengenai isu writ tuntutan gaji yang dikemukakan oleh bekas penjaga gol pasukan itu, Khatul Anuar Md. Jalil baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Erwan Rizal Ali Napiah mengesahkan telah menerima surat daripada Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung isu itu dan akan menghormati segala proses yang perlu dilalui.
“Saya mahu fokus kepada kerjasama kelab dengan Ekspres Perdana. Segala isu yang sedang berjalan dan proses dilaksanakan, kita tidak boleh beri sebarang komen buat masa ini.
“Biar kita hormati proses tersebut dan saya atau wakil daripada pasukan (Kelantan TRW) tidak mahu mendahului apa-apa proses yang sedang berjalan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Kelantan TRW dan Ekpres Perdana di Mukim Teluk Mesira, di sini hari ini.
Erwan Rizal memberitahu, sebaik sahaja proses yang sedang berjalan berkaitan isu tersebut selesai, pihaknya atau wakil Kelantan TRW akan memberikan respons mengikut apa sahaja yang diputuskan kelak.
“Bagi musim ini, pemain-pemain menerima gaji termasuk bonus mengikut jadual dan mereka gembira bermain untuk pasukan. Kelantan TRW sentiasa komited dan tidak lari ke mana-mana. Ada masalah kita cuba selesaikan,” ujarnya.
Pada 15 Ogos lalu, Khatul Anuar melalui peguam PFAM telah menghantar writ tuntutan tunggakan gaji kepada pasukan itu. – KOSMO! ONLINE