PERTEMBUNGAN dua pemain perseorangan lelaki negara di pusingan pertama Terbuka Hong Kong menjadi tumpuan apabila Leong Jun Hao diundi menentang rakan senegara, Lee Zii Jia menjelang saingan yang membuka tirainya esok.
Bagi Jun Hao, perlawanan itu bukan sekadar aksi pembukaan, sebaliknya medan ujian besar buat dirinya menentang bekas juara All England itu yang kini kembali selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Walaupun pernah menjalani latihan bersama Zii Jia semenjak kecil, namun pemain berusia 26 tahun itu menegaskan hubungan persahabatan antara mereka tidak menjadi penghalangnya daripada memberikan tentangan habis-habisan.
“Kalau sudah berlatih bersama sejak kecil, memang kita tahu permainan masing-masing. Jadi ia bergantung kepada strategi dan keadaan hari perlawanan. Dalam gelanggang, lawan tetap lawan,” katanya.
Dalam masa sama, Jun Hao tetap mengambil pendekatan berhati-hati walaupun dilihat memiliki kelebihan dari segi kecergasan selepas Zii Jia berehat lama sehingga tersingkir awal pusingan pertama Kejohanan Dunia di Paris, Perancis baru-baru ini.
“Ya, dia baru kembali tetapi sudah bermain satu kejohanan. Jadi ia bergantung kepada keadaan gelanggang di Hong Kong nanti. Apa pun, saya akan tetap bermain sebaik mungkin kerana kami berdua mahu berikan yang terbaik.
“Apapun, saya anggap ia satu cabaran menentang dia kerana kita tahu bukan mudah untuk berdepannya. Jadi, saya letakkan itu satu cabaran menentangnya nanti,” ujarnya.
Sebagai rekod, Zii Jia yang kini menghuni kedudukan ke-47 dunia memenangi ketiga-tiga pertemuan menentang Jun Hao sebelum ini, sekali gus meletakkan tekanan tambahan buat pemain muda itu untuk memburu kemenangan sulung. – KOSMO! ONLINE