LONDON – Hasrat kelab gergasi Turkiye, Besiktas untuk membawa keluar Leandro Trossard dari Arsenal tidak kesampaian apabila The Gunners menolak tawaran lumayan £19 juta (RM108.36 juta) menjelang tarikh tutup perpindahan Liga Super Turki, 12 September ini.
Pemain sayap Belgium berusia 30 tahun itu sebelum ini hangat dikaitkan dengan perpindahan keluar dari London selepas Mikel Arteta memperkukuh jentera serangan dengan kemasukan Noni Madueke dan Eberechi Eze.
Namun, laporan antarabangsa menjelaskan Arsenal tetap berkeras mengekalkan pemainnya itu kerana masih menjadi sebahagian daripada perancangan utama Arteta musim ini.
Trossard yang bersaing dengan Gabriel Martinelli di posisi sayap kiri telah beraksi dalam 28 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dengan rekod lapan gol dan lapan bantuan jaringan, namun musim ini hanya beraksi 37 minit selepas dua kali sekadar menjadi pemain gantian.
Arteta pantas menutup spekulasi apabila menegaskan Trossard kekal sebahagian daripada projek jangka panjang Arsenal selepas pemain itu menandatangani kontrak baharu Ogos lalu.
“Situasi ini telah diselesaikan dengan baik. Dari awal lagi, Trossard mahu kekal, kelab juga jelas mahu dia kekal dan saya juga mahukannya di sini. Akhirnya, semua pihak mendapat keputusan terbaik,” kata Arteta. – AGENSI