fbpx
JOJO mempamerkan aksi dominan apabila berjaya menundukkan El Jamari hanya dalam tempoh dua minit. - ONE CHAMPIONSHIP

El Jamari puji Jojo, sedia hadapi aksi ‘rematch’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETARUNG Maghribi, Zakaria El Jamari mengakui kehebatan jaguh muaythai negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali selepas tumbang pada pusingan pertama pada ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, kelmarin.

El Jamari berkata, prestasi ditampilkan Jojo membuktikan kemampuan anak muda berusia 18 tahun itu sebagai antara petarung paling sukar ditundukkan ketika ini.

“Ya, dia seorang juara,” kata El Jamari ringkas ketika dihubungi Kosmo! apabila ditanya pandangannya mengenai Jojo sejurus kekalahan dalam pertarungan kategori flyweight di Stadium Lumpinee itu.

Johan yang lebih mesra dengan panggilan Jojo menampilkan aksi cukup agresif sejak awal saingan sehingga meletakkan lawannya itu dalam tekanan.

Meskipun cuba menahan asakan demi asakan dilakukan petarung berusia 18 tahun itu, namun El Jamari terpaksa akur apabila tumbang ketika pusingan pertama berbaki 60 saat menerusi keputusan ‘technical knockout’ (TKO).

Mengulas mengenai kemungkinan aksi ulangan, El Jamari tidak menolak peluang itu sekiranya pihak ONE Championship merancang pertembungan semula pada masa akan datang.

“Jika ONE Championship perlukan, saya sentiasa bersedia,” tegas petarung berusia 35 tahun itu kepada Kosmo! ketika dihubungi.

Kemenangan itu pastinya menjadi pembakar semangat buat Johan selepas dia tewas dalam dua pertarungan terdahulu menentang dua petarung sensasi dari Colombia, Diego Paez dan Johan Estupinan.

Hasil kemenangan kelmarin, Johan kini sudah mencatat tujuh kemenangan selain mengalami tiga kekalahan dalam 10 pertarungan.

Sementara itu, kali terakhir dia menang dalam pertarungan ONE Championship adalah ketika menewaskan petarung Mexico, Josue Cruz menerusi keputusan knockout (KO) pada saingan ONE 168 di Denver, Amerika Syarikat 7 September tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN