TEL AVIV – Sebuah dron yang dilancarkan kumpulan pemberontak Houthi dari Yemen mengenai sasaran di Lapangan Terbang Ramon, Israel, menyebabkan beberapa kerosakan dan mendatangkan kecederaan, lapor laman berita Al Mayadeen kelmarin.
Rakaman video yang diedarkan di platform media sosial menunjukkan letupan dron tersebut dan asap berkepul-kepul keluar dari tapak itu selepas kejadian.
Media Israel kemudian mengesahkan bahawa dron itu yang merupakan keempat dilancarkan dari Yemen semalam, terkena terminal penumpang di Lapangan Terbang Ramon.
Tiga dron terdahulu yang dilancarkan dari Yemen didakwa telah dipintas.
Susulan serangan itu, operasi udara di lapangan terbang dihentikan, lapor agensi berita Reuters dengan memetik Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel.
Perkhidmatan respons kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) berkata, mereka menerima laporan pada pukul 2.35 petang (waktu tempatan) tentang dron tersebut. Dua orang mengalami kecederaan ringan akibat serangan itu, kata MDA.
Angkatan Bersenjata Yemen yang dikawal Houthi mengeluarkan kenyataan selepas serangan itu dengan memberi amaran kepada syarikat penerbangan bahawa lapangan terbang di Israel adalah tidak selamat dan akan disasarkan secara berterusan. – AGENSI