KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengalu-alukan penggunaan teknologi kecerdasan (AI) dan dron oleh Pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memantau taman awam.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, Malaysia sedang menuju ke arah tersebut dalam memantau kebersihan serta kerosakan pada taman awam, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan sekali gus.
“PBT ada tiga peringkat iaitu Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, dan Majlis Daerah.
“Kita akan mengoptimumkan segala sumber sedia ada kerana hal kebersihan tidak akan dikompromi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Rosni Sohar pada sidang Dewan Negara hari ini.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Mustafa Musa, Kor Ming berkata, KPKT menyasarkan impian pembinaan 1,000 Taman Rekreasi Madani (TRM) dalam tempoh 10 tahun yang bersamaan 100 Taman Madani setahun.
Menurut beliau, tahun lalu 109 TRM berjaya diwujudkan dan KPKT yakin sasaran tahun ini juga melepasi sasaran menjadikan sebanyak 216 TRM dijangka dapat dibina dalam tempoh dua tahun sahaja.
“Kita libatkan pihak swasta juga. Kita bersama-sama jayakan agenda jadikan Malaysia negara taman terindah di dunia. Peruntukan akan kita salurkan mengikut kemampuan kewangan negara, cuma kadangkala kurang mencukupi,” katanya.- KOSMO! ONLINE