KAUNAS, Lithuania – Penyerang utama Belanda, Memphis Depay berbangga selepas mencipta rekod baharu sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan 52 gol.
Depay sebelum ini terikat 50 gol dengan Robin van Persie, namun mengesahkan namanya sebagai pemegang rekod baharu menerusi dua jaringan ketika membantu Belanda mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas Lithuania awal pagi tadi.
Kemenangan di Stadium Darius and Girenas itu memastikan rekod cemerlang The Oranje kekal menghuni tangga teratas Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2026, terikat 10 mata dengan Poland yang turut menang 3-1 ke atas Finland.
Depay, 31, yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu, kini bertekad untuk terus mengekalkan tempatnya dalam skuad Belanda selepas namanya sering tersisih sejak kebelakangan tahun ini.
“Saya sangat bangga dan gembira kerana berjaya mengatasi Robin (Van Persie). Saya ucapkan terima kasih kepada semua di bilik persalinan.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada bekas rakan sepasukan seperti Klaas-Jan Huntelaar dan Arjen Robben. Mereka beri inspirasi kepada saya, begitu juga dengan Patrick Kluivert kerana beliau sebab utama saya mahu bermain untuk Belanda.
“Orang sering bertanya, ‘Apa kita nak buat dengan posisi penyerang kita?’, namun sebenarnya kita mempunyai ramai penyerang yang banyak menjaringkan gol. Saya akan cuba buktikan melalui aksi di padang sebelum mereka singkirkan saya begitu saja,” katanya.
Depay meledak dua gol pada minit ke-11 dan 63 sementara satu lagi jaringan Belanda diperoleh menerusi Quinten Timber (m-33), manakala Lithuania meraih dua gol melalui Gvidas Gineitis serta Edvinas Girdvainis. – AGENSI