KUANTAN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM520,000 melibatkan kes sejak 2011 sehingga Ogos lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pelupusan itu akan dilaksanakan oleh syarikat dilantik di Bukit Tagar, Bestari Jaya, Selangor esok.
“Ia membabitkan sebanyak 2,656 barang kes selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding telah selesai dan tempoh rayuan bagi hukuman yang dikenakan kepada pesalah juga telah tamat.
“Antara dadah yang dimusnahkan termasuk 3.3 kilogram (kg) heroin, methamphetamine (1.7 kg), kanabis (727 gram), air ketum (2,908 liter), daun ketum (69 kg) selain dadah lain seperti pil psikotropik, yaba dan ekstasi.
“Nilai pasaran dadah yang dilupus adalah RM519,158.78 dan proses ini akan dilakukan oleh kontraktor bertauliah, Syarikat J&T Berjaya Alam Murni Sdn. Bhd.,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.
Yahaya berkata, sejak Januari hingga Ogos lalu, JSJN Pahang melaksanakan 9,365 tangkapan melibatkan 8,252 kes menerusi 144 operasi khas bagi melumpuhkan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di Pahang.
Beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan tindakan tegas dan meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha memerangi kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah khususnya di negeri ini.- KOSMO! ONLINE